KOTA KINABALU – Sekurang-kurangnya 150 buah rumah musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Cenderamata Dua, Likas, dekat sini, petang ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.17 petang.
Enam jentera, dua ambulan EMRS, serta 45 anggota dan pegawai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
Agustavia berkata operasi memadamkan api dimulakan pada jam 2.29 petang diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azzuwan Ibrahim.
“Operasi tamat pada pukul 6 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Tiada laporan kecederaan direkodkan setakat ini dan penghuni rumah terlibat ditempatkan di dewan Kampung Likas, katanya. – BERNAMA