KUALA LUMPUR – Dua wanita warga Malaysia ditahan Jabatan Polis Metropolitan dan Kastam Tokyo di Lapangan Terbang Haneda, kerana disyaki menyeludup dadah yang disorokkan dalam pakaian dalam, semalam, lapor portal berita negara itu, The Asahi Shimbun.
Menurut Badan Kawalan Jenayah Terancang, kedua-dua wanita berusia 20 dan 22 tahun itu membawa lapan paket dadah dianggarkan seberat 1.5 kilogram dengan nilai kira-kira 90 juta Yen (RM3,251,440).
Kedua-dua wanita berkenaan mengaku menyeludup dadah ‘Stimulant’ dengan menyembunyikannya dalam tuala wanita dan coli yang dipakai mereka dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Haneda.
Pegawai Kastam Tokyo yang mendapati wanita berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan rapi sebelum menemui dadah berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua wanita berkenaan adalah rakan sekerja di sebuah hotel berkata, mereka pertama kali datang ke Jepun dengan visa jangka pendek.
Mereka diberikan dadah disyaki oleh seseorang yang mengarahkan mereka di Kuala Lumpur, dakwa Jabatan Polis Metropolitan. – BH Online