KUCHING – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini diberitahu baki 210 sekolah daif di negeri itu akan dibina semula menggunakan dana khas RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata peruntukan itu diluluskan dalam Bajet 2018 dengan RM500 juta dibelanjakan pada 2018 dan bakinya untuk 2019 selain yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) seperti yang dipersetujui Majlis Ekonomi Negara pada 9 Okt 2017.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganugerahkan kontrak membaiki 116 sekolah dengan 50 dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak dan baki oleh kementerian itu sendiri melibatkan nilai keseluruhan RM419.05 juta,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18, di sini.
Katanya jumlah itu tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada RM1 bilion yang diluluskan berkenaan.
Selain itu katanya sekolah yang diluluskan juga tidak menepati senarai keutamaan sekolah daif yang ditetapkan kerajaan negeri, justeru perbelanjaan RM500 juta terbabit tidak seiring dengan persetujuan semasa mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.
Perkara itu diketengahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini yang berharap kerajaan Pakatan Harapan akan menghormati keputusan yang dibuat sebelum ini demi pendidikan anak-anak. – BERNAMA