JOHOR BAHRU – Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) lemas, lima yang lain selamat manakala 16 lagi masih hilang apabila kesemua rakyat Indonesia itu dipercayai terjun daripada bot dinaiki di perairan Tanjung Penyusup dekat Kota Tinggi, hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 7.15 pagi tadi, sejurus menerima laporan orang awam pada 7.03 pagi yang menemui lima mangsa terselamat di Pantai Tanjung Penyusup.
“Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah ditugaskan ke kawasan berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.
Hasil siasatan dimaklumkan, seramai 24 orang pendatang asing lelaki dan wanita telah terjun dari bot yang dipercayai membawa masuk mereka ke negara ini, bagi menyelamatkan diri dari karam berikutan ombak kuat. Seramai lapan mangsa telah ditemui termasuk tiga mangsa meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Sanifah berkata tiga yang meninggal dunia merupakan dua lelaki dan seorang wanita yang masing-masing ditemukan pada 11.20 pagi, 11.50 pagi dan 12.05 tengah hari tadi terdampar di pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi sementara kesemua lima yang dijumpai selamat pula adalah tiga lelaki dan dua wanita..
Beliau berkata kesemua mangsa yang selamat dan meninggal dunia itu berumur antara 35 hingga 45 tahun.
“Operasi SAR hari ini melibatkan APMM, polis, bomba dan tentera darat dengan kekuatan 36 pegawai dan anggota,” katanya.
Sanifah berkata sektor pencarian berkeluasan kira-kira 11 batu nautika persegi di sepanjang perairan Tanjung Penyusup. – BERNAMA