LABUAN – Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran memusnahkan rumah sewa separuh papan separuh konkrit yang didiami mereka di Kampung Jawa di sini hari ini.
Kebakaran pada 6.15 petang itu turut memusnahkan sebuah Perodua Kancil yang diletak di bawah rumah terbabit yang musnah sama sekali.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan berkata tiga jentera dari balai Kampung Jawa, dan Layangan digegaskan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan beberapa minit selepas insiden itu berlaku.
Menurut anggota bomba, api sedang marak ketika mereka tiba di tempat kejadian.
Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 7 malam, Tiada kecederaan dilaporkan dan kerugian sedang ditaksir manakala punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA