BANGI – Sebanyak 551 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diwujudkan di seluruh negara bagi memberi peluang sama rata kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk berintegrasi dalam masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata PDK dilaksana melalui program dan aktiviti pemulihan serta pendidikan untuk golongan tersebut yang dijalankan dalam komuniti.
“Hala tuju kerajaan dalam aspek penjagaan golongan OKU adalah dengan pendekatan program dan perkhidmatan berasaskan komuniti secara mapan dan untuk berkongsi tanggungjawab kesejahteraan OKU antara keluarga, komuniti dan badan bukan kerajaan,” kata beliau dalam ucapannya ketika melawat Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi hari ini.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut merasmikan Pertandingan Abilimpik Kebangsaan 2018, satu pertandingan kemahiran pekerjaan dan vokasional yang direka khusus untuk golongan OKU.
Pertandingan Abilimpik Kebangsaan 2018 yang berlangsung hari ini dianjurkan bertujuan memilih atlet-atlet OKU terbaik mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa ke-10 di Shanghai, China pada 2020.
Ditemui pemberita selepas itu mengenai pemilihan parti PKR, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata tiada perpecahan berlaku susulan pemilihan parti itu.
“Tiada perpecahan dalam PKR,” katanya ringkas sambil menegaskan bahawa parti itu mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan parti.
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui wujud beberapa kem dalam PKR pada pemilihan parti itu bulan depan. Namun menurut Zuraida, ia merupakan persaingan sihat mengikut demokrasi yang diamalkan parti itu.- BERNAMA