DAKWAAN kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah selama 60 tahun tidak dapat tidak akan mengaitkan sekali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pakatan Harapan (PH) mendakwa sukar untuk memperbaiki apa yang diwarisi daripada BN yang memerintah negara selama 60 tahun sejak merdeka.
Alasan murahan ini dikecam oleh banyak pihak daripada netizen hingga pemimpin-pemimpin politik.
Mahathir kali pertama menjadi perdana menteri selama 22 tahun sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an hingga tahun 2003.
Era Mahathir sebagai perdana menteri ialah tempoh politik Malaysia paling getir dan mencabar bagi pembangkang dan semua pihak yang tidak sehaluan dengannya.
Tempoh itu menyaksikan pemusatan kuasa pada seorang perdana menteri yang membentuk budaya politik negara hingga ke hari ini.
Ironinya, Mahathir berjaya menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak akibat kebencian terhadap UMNO dan BN hasil apa yang beliau sendiri tanamkan sepanjang 22 tahun itu.
Tempoh kegagalan 60 tahun yang dijadikan modal politik itu termasuk 22 tahun yang paling membentuk budaya dan corak politik Malaysia.
Malah 22 tahun itulah tempoh yang sepatutnya tempoh kematangan budaya politik, selepas melepasi tempoh pembinaan dan pengukuhan di bawah tiga perdana menteri selepas merdeka.
Tempoh 22 tahun itulah yang memberi kesan kepada dua perdana menteri selepas itu, yang dinilai dengan lebih kritikal hasil tinggalan perdana menteri sebelumnya yang berkuasa selama 22 tahun.
Apa yang mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PH ialah sebenarnya PH mewarisi sebuah negara yang stabil dan sedang pesat menuju negara maju hasil usaha perdana menteri keenam Najib.
Buktinya, hampir semua projek era Najib diteruskan dan ada yang mahu “dirampas” dan diubah demi kepentingan sendiri.
Malah, projek-projek pengangkutan awam yang tidak sempurna di bawah perdana menteri (LRT yang terputus-putus) keempat disempurnakan semasa era Najib, dan ditambah dengan MRT yang lebih luas kawasannya.
Banyak lagi sepanjang tempoh terakhir 60 tahun yang dipersalahkan itu, pencapaian baharu berlaku mengatasi tempoh 22 tahun perdana menteri keempat.
Kalau dinilai secara jujur, tempoh penghujung 60 tahun itu satu anugerah untuk kerajaan selepas itu kalau kerajaan baharu itu tidak merosakkannya. – Mynewshub.tv