HEBAT…. Di sebalik kehebatan Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 menumpaskan Croatia 4-2 pada Ahad lalu, ramai penganalisis sukan melihat ia lebih sebagai kejayaan aksi pemain Muslim.
Secara umumnya, bagi pemain bola sepak di benua Eropah tanpa kira latar belakang agamanya, dapat mewakili pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan besar dan peluang untuk harum nama negara masing-masing.
Bagaimanapun mungkin ramai peminat tidak sedar untuk kancah edisi Piala Dunia di Rusia tahun ini, ramai pemain Muslim turut beraksi bukan sahaja mewakili negara Islam tertentu, malah negara yang dianggap sebagai sekular.
Pasukan Perancis tidak terkecuali. Terdapat tujuh pemain Muslim dalam skuad dibimbing oleh Didier Deschamps; yang juga lakar sejarah sebagai individu yang pernah menang Piala Dunia pada 1998 di negaranya sendiri ketika itu.
Paul Pogba dan N’golo Kante adalah antara dua pemain utama kesebelasan pasukan tersebut, sekali gus menjadi tonggak kekuatan Les Bleus yang mampu bermain dalam semua perlawanan Perancis pada Piala Dunia 2018.
Sementara dua lagi pemain beragama Islam dalam pasukan Eropah itu, Nabil Fekir dan Ousmane Dembele, turut merasakan bahang Piala Dunia meskipun sekadar berstatus sebagai pemain simpanan sahaja.
Berikut adalah tujuh pemain Muslim dalam pasukan Perancis:
1. PAUL POGBA
Pogba merupakan pemain midfield kelab Manchester United. Pada 2012, Pogba menyarung jersi pasukan Juventus dan menjadi juara Serie A empat kali berturut-turut. Pogba juga menyerlah dalam pertandingan Coppa Italia.
Pada 2013, Pogba menang anugerah ‘Golden Boy‘ UEFA dan Anugerah Bravo pada 2014. Setahun kemudian terpilih dalam Pasukan Pilihan UEFA 2015 dan meraih Anugerah FIFA FIFPro World XI setelah bantu Juventus juarai liga.
2. N’GOLO KANTE
Pemain kelahiran Mali ini kini bermain untuk pasukan Chelsea. Pada 2015, beliau mewakili Leicester City dan juarai Liga Perdana England buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan itu. Musim selanjutnya, pindah balik ke Chelsea.
Beliau di sini sekali lagi menjulang Liga Perdana England. Kante menjadi pemain warga asing yang pertama berjaya menjuarai Liga Perdana England buat dua musim secara berturut-turut dengan dua pasukan yang berbeza.
3. ADIL RAMI
Sebagai pemain pertahanan, beliau yang juga kelahiran Maghribi tetapi memegang kerakyatan Perancis ini bermain untuk kelab tempatan Marseille. Beliau pernah berpindah dengan menyertai pasukan Lille dan menjuarai Ligue 1.
Ia dilaporkan berlaku pada musim 2010/2011 dan kemudian Coupe de France pada 2010/2011. Rami juga pernah menjulang piala Liga Europa pada 2015 bersama-sama dengan pasukan Sevilla.
4. DJIBRIL SIDIBE
Pemain pertahanan berusia 24 tahun ini berasal dari Senegal. Beliau kini bermain untuk pasukan AS Monaco. Beliau menjadi juara Ligue 1 dua musim lalu bersama pasukan itu dan terpilih dalam pasukan terbaik Ligue 1 pada musim yang sama.
5. BENJAMIN MENDY
Sama dengan Sidibe, Mendy berasal dari Senegal. Mendy merupakan pemain pertahanan Manchester City. Sebelum menjuarai Liga Perdana England bersama Manchester City, Mendy juga berhasil menjadi juara Ligue 1 bersama AS Monaco pada tahun sebelumnya.
6. NABIL FEKIR
Fekir berasal dari Algeria. Beliau penyerang bagi pasukan Lyon. Pada musim 2014/2015, Fekir dinobat sebagai pemain muda terbaik Ligue 1. Fekir kini diburu banyak pasukan terkenal, termasuk Liverpool.
7. OUSMANE DEMBELE
Dembele adalah bintang muda Barcelona yang berusia 21 tahun. Beliau berketurunan campuran Mali, Mauritania, dan Senegal. Bersama pasukan Borussia Dortmund pada 2016-2017, Dembele menjuarai DFB-Pokal. Kemudian bersama Barcelona, beliau berhasil menjadi juara La Liga dan Copa del Rey pada 2017/2018.
– Agensi/Mynewshub.TV