PADA 13 Julai lalu, genaplah 25 tahun Zarina Zainuddin bergelar isteri kedua kepada Datuk Seri Raihan Wan Jaafar.
Menurut Zarina, selepas tiga bulan melangsungkan perkahwinannya, Raihan memberitahu bahawa perkahwinnan itu dibina atas dasar simpati.
Zarina juga memberitahu bahawa suaminya itu lebih mementingkan isteri pertama berbanding dirinya.
“Selepas tiga bulan berkahwin, suami saya berkata pada saya; abang kahwin dengan Ina (panggilan Zarina) sebab abang kesian sahaja, kakaklah segala-galanya dalam hidup abang. Lepas kahwin baru abang sedar abang lebih perlukan dia,” tulisnya di Instagram.
Tambahnya, Raihan juga memberitahu tidak mempunyai perasaan cinta dalam dirinya terhadap Zarina tetapi meminta Zarina agar terus bersabar.
“Saya masih ingat lagi kata suami saya, ‘abang tak nak isteri keluar ikut depan, dia keluar ikut pintu belakang. Kalau nak jadi seorang wanita harus belajar bersabar dan bersabar.
“Terima kasih abang… Sabar itu separuh daripada iman,” katanya.
Zarina dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Raihan iaitu pasangan kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azra, 22, Muhammad Naim Azraidan, 15, dan Muhammad Adam Azrai, 12.
Menjelaskan bahawa walaupun perkahwinannya bersama Raihan direstui isteri pertama, Datin Seri Noorhasimah, Zarina sedar bahawa hati seorang wanita telah hancur berderai.
“Walaupun perkahwinan saya atas izinnya tapi dia terluka di saat saya baru mengejar bahagia.
“Perkahwinan dalam usia saya 22 tahun, saat itu saya cuma katakan padanya saya tiada sesiapa kakak, hidup saya macam lalang ditiup angin ke kiri… ke kirilah saya ditiup angin, ke kanan ke kananlah saya.
“Allhamdulilah dengan izinnya… Kawinlah saya nun jauh di seberang sana,” katanya yang kini bahagia disamping keluarganya. -MYNEWSHUB.TV
SUMBER: mStar Online