TANAH MERAH – Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kelantan hari ini menumpaskan tiga cubaan menyeludup masuk tiga jenis barang dalam operasi berasingan selama tujuh jam bermula 4 pagi tadi.
Komandernya Rosli Karim berkata dalam operasi pertama, pihaknya merampas 320 kilogram daun ketum serta menahan tiga lelaki berusia 30-an di Bukit Bunga pada 8 pagi tadi.
“Daun ketum terbabit yang dimuatkan di dalam dua buah kereta dipercayai dibawa masuk dari utara untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di pejabat Aksem Bukit Bunga di sini.
Beliau berkata dalam satu lagi operasi pada 10 pagi di Wakaf Bata, Machang, pihaknya merampas 56,000 kotak rokok putih bernilai RM761,600 namun tiada tangkapan dibuat.
“Bekalan rokok terbabit dipercayai dibawa masuk dari Lembah Klang untuk pasaran di negeri ini,” katanya.
Dalam operasi di Bukit Yong, Machang, pihaknya merampas 40 kampit beras bernilai RM2,800 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
“Tiga suspek yang ditahan berkaitan daun ketum itu akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala rokok dan beras akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan,” katanya. – BERNAMA