ALOR SETAR – Ambulans dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani yang terlibat dalam kemalangan di KM81.4 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Alor Setar dekat Gurun semalam sedang dalam perjalanan menghantar pesakit mendapatkan rawatan subkepakaran di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pesakit itu menghidap penyakit serta jangkitan serius dan kakitangan HSAH bersama waris pesakit turut berada dalam ambulans berkenaan ketika kejadian pada jam 6.25 petang.
“Selain pemandu, terdapat lima penumpang yang terdiri seorang pegawai perubatan, seorang jururawat terlatih, seorang pesakit, seorang pembantu perawatan kesihatan dan seorang waris pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Norhizan berkata selepas kejadian, empat mangsa termasuk pesakit dibawa dengan dua ambulans ke HSB untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu ambulans itu dan pembantu perawatan kesihatan dihantar ke HSAH.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan pesakit itu bertambah merosot dan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HSB pada pukul 8.40 malam tadi manakala mangsa lain yang turut cedera kini dilaporkan stabil.
Sementara itu, katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berwajib namun maklumat awal mendapati ia berkemungkinan tayar ambulans meletup hingga mengakibatkan kenderaan itu terbabas ke tepi jalan lebuh raya berkenaan. – BERNAMA