MESKIPUN Malaysia tidak hantar pasukan bola sepaknya ke Piala Dunia Rusia 2018, namun setidak-tidaknya ada anak Malaysia cipta sejarah ‘muncul’ di temasya itu.
Ia selepas seorang pelajar tingkatan dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang Selangor terpilih untuk ‘terbang’ ke Rusia menggalas tanggungjawab selaku pembawa bola untuk aksi berprestij itu.
Kelibat Adam Riezman Roslam dapat dilihat pada aksi pusingan ke-16 membabitkan tuan rumah, Rusia yang bertemu Sepanyol yang berlangsung di Stadium Luzhniki, Moscow, malam pagi tadi.
Ini sekali gus menyaksikan Adam menjadi anak Malaysia pertama yang terpilih sebagai pembawa bola bagi temasya penuh gemilang yang setakat ini sudah memasuki pusingan kedua.
Pelajar bertuah itu berpeluang ke Rusia selepas mengungguli Kejohanan Pertandingan Kemahiran Kanak-Kanak anjuran KIA yang turut menawarkan hadiah wang tunai RM800.
Namun wang tunai itu mungkin kecil nilainya jika dibandingkan dengan peluang Adam untuk bawa bola pada aksi terbabit sekali gus berada dalam barisan bersama pemain terkemuka seperti Gerard Pique, David de Gea dan Igor Akinfeev. -BH ONLINE