KUANTAN – Seorang anggota penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang cedera akibat dilanggar seorang pelajar yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata pada kejadian pukul 10.55 pagi itu, mangsa Tajudin Taib, 36, bertugas dalam sekatan jalan raya di Jalan Tengku Ismail, Temerloh dekat sini.
“Mangsa dilanggar seorang pelajar berusia 19 tahun yang menunggang motosikal melawan arus dalam cubaan mahu melarikan diri daripada sekatan jalan raya itu.
Mangsa yang berada kira-kira 100 kilometer di belakang lokasi operasi diadakan dilanggar menyebabkannya cedera di tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zundin berkata pelajar Kolej Vokasional Chenor, Maran yang beralamat di Taman Bukit Cermin, Mentakab itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata pihaknya telah mengambil sampel air kencing penunggang motosikal tebabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
** Sekadar Video Hiasan..