TOKYO – Angka kematian bencana banjir yang melanda beberapa bahagian di Jepun, meningkat kepada 199 orang, sementara puluhan lagi penduduk dilaporkan masih hilang.
Jurucakap Kerajaan Jepun, Yoshihide Suga, berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa bencana berkaitan cuaca yang disifatkan terburuk pernah berlaku di negara ini, dalam tempoh tiga dekad.
“Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengunjungi salah satu wilayah yang ditimpa bencana itu semalam, dan beliau merancang untuk melawat satu lagi kawasan yang teruk dilanda banjir, esok,” kata Suga.
Abe membatalkan lawatan ke empat negara yang dijadualkan berlangsung minggu ini, selepas angka kematian akibat bencana berkenaan mencatatkan peningkatan.
Dalam pada itu, harapan untuk menemui mangsa yang selamat semakin tipis, walaupun paras air semakin surut.
Ketika ini, sekurang-kurangnya 10,000 penduduk yang berpindah atau diselamatkan kini berlindung di pusat penempatan sementara.
Kerajaan berjanji untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang ingin pulang ke rumah masing-masing.
“Kami akan melakukan sedaya upaya yang mampu untuk memastikan penduduk terbabit tidak perlu tinggal lama dan dalam keadaan tidak selesa di pusat perlindungan sementara,” kata Abe. – AFP