SINGAPURA – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, bangkit dengan garang pada babak kedua untuk membelasah pasukan Paris Saint-German (PSG) 5-1 pada kejohanan pra musim Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Stadium Nasional di sini, malam Sabtu.
Malah pengendali baharu Arsenal, Unai Emery, berjaya melakarkan strategi menarik terhadap bekas pasukan kendaliannya dari Perancis itu selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.
Bekas pemain Piala Dunia Jerman, Mesut Ozil, yang mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 apabila menyudahkan hantaran pendek Pierre-Emerick Aubameyang untuk mengalahkan penjaga gol PSG, Gianluigi Buffon.
Enam minit kemudian, Ozil, pemain berdarah Turki itu hampir menambah jaringan apabila tandukan, hasil hantaran Aubameyang, berjaya ditepis oleh penjaga gol dari Itali itu.
Tersentak dengan jaringan awal itu, PSG di bawah jurulatih baharu, Thomas Tuchel, cuba memberi tentangan dengan mengawal keadaan serta melakukan beberapa percubaan.
Namun, kedudukan pendahulu tidak berubah sehingga babak pertama berakhir.
Pada babak kedua, PSG berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Christopher Nkunku.
Pengadil menghadiahkan penalti tersebut selepas pemain pertahanan Arsenal, Sead Kolasinac menjatuhkan penyerang PSG, Timothy Weah, dalam kotak penalti.
Pemain gantian, Alexandre Lacazette menyuntik nafas baharu dalam barisan depan Arsenal apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 selepas menyudahkan hantaran silang pemain muda, Emile Smith Rowe.
Lacazette, pemain dari Perancis itu, mengukuhkan kedudukan Arsenal apabila menanduk masuk gol peribadi keduanya pada minit ke-71 untuk meletakkan pasukan Gunners 3-1 di hadapan.
Arsenal, selaku juara Piala FA England sebanyak 13 kali itu, melengkapkan buruan gol menerusi Ron Holding pada minit ke-87 dan Eddie Nketiah pada masa kecederaan.
Ini merupakan perlawanan ketiga bagi pengendali Arsenal, Emery, selepas menggantikan Arsene Wenger.
Arsenal memulakan pramusim ini dengan membelasah Boreham Wood 8-0 sebelum tewas kepada pasukan Liga Sepanyol, Atletico Madrid, 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1. – mStar Online