JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, menerima suntikan berharga menjelang Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Indonesia pada bulan depan.
Ia selepas memenangi pingat emas kedua pada kejohanan Piala Trek China di Taiyuan, China hari ini. Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu meraih pingat emas pertama dalam acara pecut semalam.
Hari ini Mohd Azizulhasni meneruskan kayuhan bertenaganya untuk memenangi emas kedua dalam acara keirin.
Mohd Azizulhasni mencatat masa 13.569 saat untuk menewaskan dua pelumba China, Xu Chao dan Wang Yibo, yang masing-masing memenangi perak dan gangsa selepas ketinggalan 0.568 dan 0.811 saat di belakang.
“Saya sangat gembira kerana berjaya berada pada prestasi yang dimahukan sebulan menjelang Sukan Asia di Jakarta.
“Kini segala usaha keras sudah dilaksanakan dan sekarang tiba masanya bagi saya menikmati perlumbaan saya untuk dua hari lagi,” kata Mohd Azizulhasni seperti dipetik dalam Instagramnya, azizulawangofficial.
Dua lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan beberapa pelumba lain. – BERNAMA