BARCELONA mengemukakan bidaan ketiga bernilai 55 juta pound sterling (RM293 juta) kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain sayapnya Willian.
Dua tawaran awal kelab gergasi La Liga itu sudah ditolak pada musim panas ini.
Jurulatih baharu Chelsea Maurizio Sarri difahamkan mahu mengekalkan pemain berusia 29 tahun itu.
Bidaan pertama Barca bernilai 50 juta pound sterling (RM266.7 juta) kemudian disusuli tambahan tiga juta pound sterling.
Kini Barca mengemukakan bidaan ketiga bernilai 55 juta pound sterling (RM293 juta) dengan harapan perpindahan itu dapat dimuktamadkan segera.
Manchester United turut berminat terhadap Willian dan boleh mengemukakan jumlah bidaan seperti yang ditawarkan Barca tetapi Chelsea rela melepaskannya ke Sepanyol.
Willian mahu meninggalkan Stamford Bridge sekiranya Antonio Conte kekal bersama Chelsea tetapi ketibaan Sarri dijangka akan mengubah keputusannya.
Pemain kebangsaan Brazil itu masih bercuti selepas pasukannya tersingkir daripada pentas Piala Dunia.
Sarri pada sidang media pertamanya mengakui dia akan bersemuka dengan Willian sebelum memutuskan mengenai masa depan pemain itu.
Sekiranya Chelsea sedia melepaskan Willian, mereka perlu mendapatkan pemain sasaran Liverpool, Nabil Fekir.
Pemain kebangsaan Perancis itu lulus ujian perubatan dengan Liverpool pada Julai tetapi The Reds mahu bidaan terhadap pemain itu dirunding semula selepas mengambil kira kecederaan lutut Nabil. – mStar Online