MUAR – Seorang bekas pengurus syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar di sini hari ini atas 40 pertuduhan menghantar gambar lucah bekas teman wanitanya melalui aplikasi Twitter, empat tahun lepas.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Richard Gan Hong Tiong, 53, didakwa telah secara sedar menghantar komunikasi bersifat lucah iaitu gambar-gambar seorang kerani berusia 28 tahun dengan niat untuk menyakitkan hati pengadu.
Tertuduh, yang kini menganggur, didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dari 30 Mei 2014 hingga 10 Jun 2015.
Pengadu terbaca kandungan itu, kemudian membuat laporan polis sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 10 Ogos 2015.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SKMM Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin atas alasan perbuatan tertuduh merupakan kesalahan serius dan menjatuhkan maruah serta mengaibkan mangsa.
Gan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan dia tidak bekerja selain menghidap sakit buah pinggang dan tibi.
Hakim Amran Jantan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA