KUALA LUMPUR – Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun sepatutnya dimanfaati rakyat dengan berbelanja lebih.
Berbelanja lebih dapat memberi limpahan kepada ekonomi domestik sekali gus membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan 417 barangan tidak lagi dikenakan GST, mereka boleh meningkatkan kuasa membeli terutamanya dalam tempoh tanpa cukai tiga bulan sehingga hujung Ogos ini sebelum bermulanya pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.
Kementerian Kewangan menetapkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport adalah sifar GST.
Susulan sifar GST, kerajaan bakal kehilangan sumber kewangan sebanyak RM42 bilion namun ia dilihat membolehkan rakyat mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.
HARGA TURUN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sebanyak 70 peratus daripada 417 barangan keperluan itu sudahpun diturun harga sejak kadar sifar GST dilaksanakan.
Namun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata penurunan harga barangan yang rendah itu menyebabkan rakyat belum merasai sepenuhnya sifar GST.
Berdasarkan tinjauan kementerian itu antara 1 Jun hingga 30 Jun, harga barangan menurun antara 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.
Sebelum 1 Jun 2018, sebanyak 38 peratus barangan mencatatkan kenaikan harga meskipun ia sememangnya tidak dikenakan GST atau berkadar sifar.
Jumlah itu merangkumi 98 barangan yang majoritinya adalah barangan segar seperti produk agro makanan yang terdiri daripada makanan laut dan sayur-sayuran yang mempunyai jangka hayat pendek selain harga berubah mengikut faktor tertentu seperti permintaan dan penawaran semasa serta keadaan cuaca.
Bagi barangan berkadar standard pula, hampir dua peratus barangan mengalami kenaikan iaitu kira-kita tiga daripada 156 barangan.
UBAH PERSEPSI
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pengguna mungkin tidak merasai penurunan harga berikutan sebahagian besar barangan sememangnya mendapat pengecualian GST sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April 2015.
Pengguna perlu memperbetul persepsi bahawa GST pada kadar sifar akan membuatkan semua harga barang turun.
“Ia bukan begitu kerana harga barang tetap sama cuma tiada lagi caj 6 peratus GST. Contohnya, harga barang RM10 dan sebelum ini ada tambahan sebanyak 6 peratus menjadikannya RM10.60. Apabila GST berkadar sifar, mereka tetap perlu membayar harga RM10 cuma tidak perlu menambah 60 sen.
“Kekeliruan mungkin berlaku kerana harga yang dipamerkan adalah harga tidak terangkum dengan GST.
“Selain itu, ada premis atau kedai yang mendakwa tidak mengenakan GST pada harga barang kerana menanggung sendiri cukai itu…keadaan ini menampakkan tiada perubahan harga walaupun GST berkadar sifar,” jelasnya.
RESPON PENGELUAR
Mengulas perkara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata GST kadar sifar hanya bermula 1 Jun lepas menyebabkan barangan yang dikeluarkan sebelum tarikh itu masih terikat dengan cukai berkenaan.
Namun, isu harga tidak turun sepatutnya tidak melibatkan makanan asas atau apa sahaja barangan yang sebelum ini sememangnya mendapat pengecualian.
“Untuk melihat perubahan besar (penurunan harga barang), ia perlu bergantung kepada respon atau tindakan pengeluar terhadap corak dalam tempoh sifar GST sendiri.
“Secara purata, pengeluar akan memberi tindak balas dengan kos input pertengahan (termasuklah input berkaitan barangan import) serta beban kawal selia yang perlu dipatuhi. Di sinilah perlunya dasar pada peringkat huluan yang cekap yang memerlukan kerajaan memain peranan untuk memantau,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut beliau berkata bagi menurunkan harga barang dalam tempoh singkat dengan kadar sifar GST adalah kurang cekap berbanding beberapa dasar yang lebih efektif seperti dasar sebelah penawaran yang melibatkan pemberian subsidi oleh kerajaan, menurunkan beban regulasi serta dasar fiskal cukai korporat.
“Majoriti rantaian perniagaan akan bermula dengan keseimbangan asal (ada GST), dan walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula tidak lama lagi, ia masih tidak memberi penurunan harga barang yang signifikan dalam jangka masa pendek.
PERANAN PENGGUNA
Dalam pada itu, Mohd Yusof mengingatkan rakyat tentang kuasa mereka sebagai pengguna dalam memilih dan bertindak jika berdepan peniaga termasuk pengusaha restoran yang mengenakan harga tinggi selepas pelaksanaan kadar sifar GST.
“Harga makanan bukanlah barang kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan sebaliknya ditetapkan restoran mengikut pertimbangan mereka sendiri.
“Dalam hal ini, pengguna sendiri perlu menentukan…jika harga makanan di sesebuah restoran mahal, maka tidak perlulah mengunjungi premis itu lagi.
“Jika masih menjadi pelanggan walaupun sedar harganya mahal, pengguna sebenarnya ‘redha’ dengan situasi itu,” katanya.
Justeru itu, pengguna perlu menggunakan kuasa mereka bagi mewujudkan desakan kepada peniaga yang menjual dengan harga sesuka hati.
Tindakan memboikot restoran tertentu atau membuat aduan kepada pihak berkuasa juga boleh mendorong peniaga mengubah strategi perniagaan termasuk menurunkan harga makanan. – BERNAMA