KAHERAH – Rakyat asing yang ingin dapat taraf kewarganegaraan Mesir kini boleh diterima dengan syarat wajib memiliki wang simpanan di bank sebanyak tujuh juta pound (kira-kira RM1.6 juta).
Ia susulan kelulusan rancangan undang-undang pelaburan kontroversi kerajaan Mesir yang dibentangkan oleh pihak Parlimen negara Islam Afrika Utara tersebut di sini kelmarin, menurut agensi berita rasmi tempatan, Mena.
Majoriti anggota perwakilan bersetuju dengan pelan aneh berkenaan yang diharap dapat bantu Mesir untuk keluar daripada masalah kemelesetan ekonomi dan mampu bayar tunggakan hutang kepada pelbagai badan antarabangsa.
Undang-undang baharu tersebut menetapkan syarat bahawa calon warganegara Mesir perlu ada sejumlah wang ditetapkan itu di mana-mana bank berdaftar di negara berkenaan selama tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.
Untuk rekod, setakat ini hanya sembilan buah negara di dunia ada polisi sedemikian bagi jana ekonomi domestik iaitu Antigua & Barbuda, Bulgaria, Cyprus, Dominica, Grenada, Hungary, Malta, Saint Lucia dan St. Kitts & Nevis.
Portal tempatan, The New Arab, melaporkan selaras dengan rancangan peraturan tersebut, menteri dalam negeri akan diberi kuasa khas untuk mentauliahkan sendiri kerakyatan kepada warga asing yang mahu tinggal di Mesir.
Ramai anggota Parlimen menyokong undang-undang tersebut kerana berpendapat ia akan dapat dorong pelaburan asing untuk lonjak ekonomi Mesir yang masih lagi dilanda krisis akibat ketidakstabilan politik dan isu keselamatan.
Namun peraturan pelik dianggap seolah-olah jual status kewarganegaraan Mesir kepada rakyat asing itu turut cetus kritikan keras daripada ramai pengamal undang-undang dan masyarakat Mesir yang kuat semangat patriotiknya.
Seorang anggota parlimen dari parti pembangkang, Haitham al-Hariri dilaporkan menuduh pihak pemerintah Mesir sebagai sengaja izin penggadaian taraf kerakyatan ketat negara itu demi raih wang antarabangsa dengan cara cepat.
Malah anggota parlimen pro-pemerintah sendiri, Mustafa Bakri juga menolak usul undang-undang ‘panas’ itu dan menyatakan bahwa hak kewarganegaraan Mesir bukanlah untuk dijual mudah kepada orang luar yang kaya-raya.
Sementara itu, jurucakap parlimen membidas kritikan tersebut dengan menegaskan bahawa isu kerakyatan Mesir adalah urusan yang bernilai dan bukan untuk diberi bebas tanpa saringan pihak berkuasa. – Agensi/Mynewshub.TV