TAWAU – Golongan pekerja berstatus kontrak atau sambilan di Sabah yang ditindas majikan boleh membuat aduan atau mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di negeri ini.
Pengarah JTK Sabah, Kamal Pardi berkata pihaknya sentiasa terbuka dan menerima kehadiran semua kategori pekerja untuk diberikan bantuan khidmat nasihat.
“Pekerja yang digajikan oleh majikan boleh hadir ke pejabat dan JTK akan melihat sama ada pekerja ini tergolong di bawah Ordinan Buruh Sabah atau tidak.
“Jika tergolong (di bawah ordinan), tidak kiralah kontrak, sambilan atau lain-lain mereka boleh membuat laporan kepada kami, tapi kami akan beri khidmat nasihat dahulu seterusnya siasat (aduan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Operasi Pematuhan di 45 premis di kawasan sekitar bandar Tawau di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamal berkata setakat Januari hingga Jun tahun ini seramai tujuh majikan telah didakwa di Mahkamah Majistret dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM18,600.
“Ketika ini juga masih terdapat 157 kertas siasatan dibuka terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Ordinan Buruh Sabah dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
“JTK sedang dalam proses mendapatkan izin dakwa dan kompaun di mahkamah,” katanya.
Bagi tempoh sama, menurutnya, JTK Sabah telah menjalankan aktiviti pemeriksaan berkanun ke atas 3,345 majikan selain melaksanakan 141 operasi di Sabah
Dalam pada itu, katanya 23 notis dikeluarkan sepanjang Ops Patuh di Tawau, dengan 47 pegawai dan anggota penguat kuasa JTK negeri terlibat dalam operasi tersebut. – BERNAMA