KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram tidak mampu untuk bertindak sesuka hati dan melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, bidang kuasa CEP hanyalah untuk menasihati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan.
“Jika nasihat yang diberi itu dirasakan tidak sesuai, maka anggota Kabinet berhak untuk menolak atau meminta penambahbaikan kepada cadangan dan nasihat daripada CEP.
“Harus diingat bahawa tempoh kuasa yang diberi kepada CEP untuk menasihat
Kabinet adalah hanya selama 100 hari,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian bagi membantah cadangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya CEP dibubarkan kerana dilihat bertindak melangkaui bidang kuasa.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut menyelar pandangan Khairy bahawa CEP perlu dibubarkan bagi menjaga akauntibiliti Kabinet kerajaan Malaysia
Dakwa beliau, sepanjang 100 hari, banyak nasihat dan cadangan telah dibawa CEP kepada kerajaan Malaysia dan tiada isu atau masalah pertindihan kuasa pernah dilakukan CEP.
“Ini seharusnya dijadikan iktibar kepada kita bahawa ramai anak watan yang layak dan sedia berbakti kepada negara tanpa mengira usia dan harta,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB.TV