CUACA hujan dan litar basah di Jasin, Melaka memberi kelebihan buat Ahmad Afif Amran untuk meraih kemenangan keduanya dalam saingan CP150 setelah menjuarai Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, di sini, hari ini.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu berjaya memintas pendahulu perlumbaan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) pada pusingan terakhir sekaligus muncul juara dan mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 70 mata selepas tiga pusingan kejuaraan.
Peringkat awal perlumbaan menyaksikan Kasma yang berada di petak kedua bermula dengan baik untuk merampas kedudukan pertama daripada Hafiz Nor Azman yang bermula dari petak hadapan dan diekori rapat oleh Afif.
Meskipun cuba menjarakkan diri, Afif terus memberikan tekanan kepada Kasma sebelum berjaya memintas pada pusingan terakhir untuk menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’24.720s.
Kasma yang terjatuh ketika Afif membuat percubaan untuk memintas bagaimanapun berjaya meneruskan perlumbaan untuk berada di kedudukan kedua dengan masa keseluruhan 16’34.308s manakala Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing berjaya meraih podium pertamanya pada musim ini dengan menduduki tangga ketiga, 16’35.470s.
“Saya tidak mahu terburu-buru untuk memintas Kasma. Saya hanya cuba untuk mengekori dan melihat kemampuan jentera saya disamping cuba memberikan tekanan kepada Kasma. Sebaik masuk ke pusingan terakhir, saya mencari ruang untuk memintas dan gembira kerana ianya berjaya. Terima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras minggu ini,” jelas Afif.
Gelaran naib juara membantu Kasma untuk terus kekal di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 61 mata manakala Hafiz di tangga ketiga dengan 29 mata.
Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan dengan 75 mata maksimum setelah mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan masa keseluruhan 13’16.134s.
Pelumba kelahiran Melaka, Hafizuddin Azahar menceriakan penyokong tuan rumah apabila muncul naib juara dengan masa 13’23.918s diikuti Shafiq Ezzariq (Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing) ketiga dengan masa 13’30.490s.
Dalam saingan WIRA KBS, pelumba pengganti untuk pasukan SIC Junior Team AFB Tech, Izam Ikmal Izamli berjaya meraih gelaran juara selepas pertarungan sengit bersama dua pelumba, Fadlyshah Redzuan (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) dan rakan sepasukan, Danial Syahmi.
Izam yang bermula dari petak pertama menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 10’56.281s manakala Danial kekal menerajui kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 66 mata.
Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Temerloh, Pahang pada 18 dan 19 Ogos.
KEPUTUSAN PUSINGAN 3 – JASIN, MELAKA
CP150
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 16:24.720s
2 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 16:34.308s
3 Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 16:35.470s
4 Fakhrusy Syakirin Rostam (JHR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 16:54.545s
5 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 16:54.624s
Kedudukan Keseluruhan
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 70
2 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 61 mata
3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 29 mata
4 Fakhrusy Syakirin Rostam (JHR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 25 mata
5 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 24 mata
CP115
1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:16.134
2 Md Hafizuddin Azahar (MLK) Persendirian 13:23.918
3 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 13:30.490
4 Md Zikri Ahmad Zamri (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:31.497
5 Md Anuar Ibrahim Pawi (PRK) Super KIP Honda Racing Academy 13:31.957
Kedudukan Keseluruhan
1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 75 mata
2 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 42 mata
3 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 37 mata
4 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 35 mata
5 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 35 mata
WIRA KBS
1 Md Izam Ikmal Izamli (KUL) SIC Junior Team AFB TECH Racing 10:56.281s
2 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 10:56.903s
3 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 10:57.046s
4 Md Hazim Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta YAMAHA 11:07.473s
5 Md Afizad Supaat (SGR) Super KIP Honda Racing Academy 11:07.735s
Kedudukan Keseluruhan
1 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 66 mata
2 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 49 mata
3 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 36 mata
4 Md Izam Ikmal Izamli (KUL) SIC Junior Team AFB TECH Racing 25 mata
5 Abdullah Qayyum A Razak (SGR) PETRONAS Sprinta YAMAHA 23 mata – MYNEWSHUB.TV