PENUTUPAN Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) sudah bermula apabila badan pengkaji itu sudah kekurangan dana dan tidak dapat membayar penuh gaji kakitangan sejak bulan Jun.
Ini dinyatakan dalam satu tulisan editorial laman Menara kendaliannya hari ini, yang mengkritik sikap politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menyokong liberal dan memusuhi IKSIM.
Tulisan itu mendakwa IKSIM menjadi mangsa politik dendam kerajaan PH yang berkongsi sikap dengan pemimpin-pemimpin liberal anti-Islam yang mendominasi pakatan itu.
“IKSIM, sebuah institusi yang selama ini dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menguruskan isu-isu ancaman terhadap kedaulatan Islam ini, kini menjadi sasaran utama balas dendam politik mereka,” jelas tulisan itu.
Menurut tulisan itu, penjelasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh “bahawa dana zakat fi sabilillah itu telah dibekukan tentunya menimbulkan rasa puas di kalangan kelompok liberalis sekularis dan ekstrimis Evangelis serta penyokong PH.”
IKSIM didakwa telah menghadapi kesukaran kewangan termasuk gagal membayar penuh gaji kakitangannya.
“Pemberhentian (penyaluran dana itu) menyebabkan berlakunya penganiayaan kemanusiaan apabila gaji kakitangan IKSIM tidak dapat dibayar penuh sejak Jun, komitmen pembayaran dengan pelbagai pihak, sewaan dan sebagainya yang terbantut, yang langsung tidak diambilkira oleh pihak CEO MAIWP sejak bulan Mei 2018.”
Jelas tulisan itu, ketua pegawai eksekutif IKSIM telah membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) “mengenai campurtangan politik kepartian dalam urusan dana zakat MAIWP dengan memberhentikan dana zakat IKSIM.”
IKSIM ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam seperti diperuntukkan perlembagaan negara melalui pelbagai aktivitinya dan mengendalikan laman web popular Menara yang dikenali sebagai suara paling lantang mengkritik pihak liberal dan menjawab pelbagai serangan dan salah faham terhadap Islam.
Pertubuhan ini kuat dikecam oleh golongan liberal termasuk ramai pemimpin parti-parti PH terutama daripada DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof ialah naib presiden PAN yang konsisten mengkritik IKSIM.
Mujahid pada November 2017 mempertikaikan peruntukan yang diterima IKSIM dalam Bajet 2018 oleh kerajaan Barisan Nasional.
Seorang penceramah agama yang kini berkhidmat untuk DAP, Wan Ji Wan Hussin pula pernah dilaporkan berkata IKSIM menyebarkan pemikiran seperti kumpulan pengganas ISIS apabila mengajak orang Islam supaya tidak mengundi DAP. – Mynewshub.tv