KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya menimbang untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada polis dan pemegang kepentingan lain terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata naib presiden kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan cadangan pemansuhan akta berkenaan tidak akan membawa kepada peningkatan kadar jenayah dan aktiviti keganasan.
“Walaupun kita semua mahu hak asasi manusia dijunjung serta ingin mendapat jaminan bahawa hak mereka yang berkemungkinan ditangkap juga dilindungi, hak mangsa jenayah juga perlu dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata antara pemegang kepentingan yang perlu dirujuk kerajaan ialah agensi penguatkuasaan undang-undang dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan aktiviti pencegahan jenayah dan hak asasi manusia.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan, tidak lama selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada 2012, yang disusuli dengan pembebasan mereka yang ditahan mengikut akta itu, kadar jenayah telah meningkat dengan ketara.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang bersifat menindas, terutama SOSMA.
Dr Mahathir berkata SOSMA, yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membenarkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja, tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah. – BERNAMA