BURUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap tuduhan mencederakan sepupunya dengan kayu, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Khairul Izwan Mohd Zin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Hakim Nazri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Zulkhairi Abdul Kadir, 41, dengan menggunakan kayu berpaku berukuran 80 sentimeter di Cabang 3, Kampung Wakaf Bunut, Selising, Pasir Puteh, pada 9 malam, 11 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan boleh juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – MyMetro