KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd. yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr. Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin dilantik sebagai pengarah syarikat dana pelaburan strategik negara itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan Pengarah Urusan Khazanah akan diumumkan kemudian, menurut kenyataan tersebut.
Mohamed Azmin merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi manakala Sukhdave ialah bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia sementara Mohd Hassan ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.
Goh pula berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif di Shangri-La Hotels (Malaysia) Bhd. sejak 28 Februari 2018. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Strategi dan Pembangunan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2007 hingga 2016.
Sebelum ini, sembilan anggota lembaga pengarah Khazanah, termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Tan Sri Md Nor Md Yusof, meletakkan jawatan untuk membolehkan kerajaan baharu memutuskan kepimpinan baharu syarikat itu. – BERNAMA