DURIAN ganja yang memiliki tangkal panjang atau D158 antara lebih 20 jenis raja buah klon yang dijual pemborong, Ahmad Mustafar di Kampung Damak, dekat Jerantut.
Ahmad, 37, berkata, sambutan terhadap durian itu begitu menggalakkan walaupun dijual dengan harga lebih tinggi berbanding jenis lain iaitu antara RM12 hingga RM15 sekilogram.
Menurutnya, setiap hari dia mampu menjual antara dua hingga tiga tan pelbagai jenis durian klon dan kampung yang dibekalkan oleh lebih 50 pekebun setempat.
“Selain durian ganja turut mendapat permintaan ialah jenis tok merah, IOI, musang king, D24, udang merah dan tok lintuk,” katanya yang tidak menolak kemungkinan selepas ini lebih banyak durian klon baru akan muncul.
Ahmad yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai peniaga durian berkata, ciri utama durian ganja tangkal panjang ialah buah bersaiz besar mencapai berat lima kilogram sebiji, isi lemak, rasa tidak pahit dan bergas.
Katanya, pokok yang dikatakan berasal dari Johor dan turut terkenal di Thailand kini semakin diminati kerana rasanya yang sedap dan harga murah.
Dia berkata, terdapat kira-kira 300 pokok durian ganja tangkal panjang yang sedang berbuah ditanam di Kampung Damak.
Katanya, durian tok merah yang isinya berwarna merah juga mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat raja buah itu.
“Setiap minggu peniaga dari Kuala Lumpur dan beberapa daerah datang ke sini bagi mendapatkan bekalan durian klon dan kampung kerana kualiti buah dan harga berpatutan,” katanya.
Ahmad berkata, penduduk yang memiliki tanah terbiar boleh mengusahakan tanaman durian kerana ia mampu memberi pendapatan menguntungkan. – MyMetro