TAWAU – Dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang menyeludup masuk 40 migran warga Indonesia ke Tawau berjaya ditahan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di hadapan Masjid Kampung Hidayah Sawit Kinabalu, Ladang Kalabakan dekat sini, semalam.
Komander ESSCom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata dalam Operasi Khas ESSCom itu, anggotanya terserempak dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang menuju masuk ke kawasan perkampungan Kalabakan pada kira-kira 4 pagi.
Katanya hasil pemeriksaan, 18 wanita, 20 lelaki dan dua kanak-kanak lelaki yang kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditemukan dalam dua pacuan empat roda dan lori berkenaan.
Ketiga-tiga pemandu berusia lingkungan 20 hingga 68 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan migran, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
“Siasatan awal ke atas migran yang ditahan mendedahkan bahawa kesemua mereka membayar RM600 kepada seorang pengurus di Nunukan, Indonesia sebelum menaiki bot dari Nunukan dan tiba di Sungai Kalabakan Tawau pada kira-kira 1 pagi,” katanya.
Kesemua migran ini masuk ke Kalabakan bertujuan mencari peluang pekerjaan di negeri ini, katanya.
Menurut Hazani, seorang daripada pemandu yang ditahan dipercayai bertanggungjawab menguruskan penghantaran kesemua migran ke Keningau.
Katanya selain dua Toyota Hilux dan lori berkenaan, ESSCom turut merampas empat telefon bimbit serta mata wang rupiah bernilai 700,000 dan RM1,324 dalam operasi itu. – BERNAMA