KOTA BHARU – Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang dalam aksi terakhir saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi seperti filem atau drama yang berakhir dengan kegembiraan.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Perlis itu tetap menerima hakikat pasukan kendaliannya sudah terjerumus ke Liga Perdana musim depan susulan gagal konsisten dalam setiap perlawanan sebelum ini.
“Alhamdulillah apa yang boleh saya katakan pemain beraksi dengan kesungguhan serta bermain dalam satu pasukan dan saya bersyukur kerana dengan kemenangan ini dapat menempatkan pasukan untuk Piala Malaysia musim ini walaupun kedudukan dalam liga sudah terlambat untuk diubah.
“Jikalau boleh kita simpulkan apa yang berlaku di Kota Bharu sebelum ini ia bagai filem yang pastinya menjadi cerita menarik kerana seperti malam ini (malam tadi) ia seolah-olah mengakhirinya dengan ‘happy ending’.
“Selepas ini mungkin akan ada lagi babak menarik, saya tidak tahu dan apa yang saya harapkan selagi mana ada peluang, Kelantan perlu berusaha untuk kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.
Ketika mengulas lanjut mengenai kelayakan ke Piala Malaysia yang dijangka bermula awal bulan depan, Yusri berkata, pasukannya perlu menanam sasaran bermula dari sekarang untuk bersaing dalam saingan piala berprestij negara itu.
Pada masa sama katanya, pasukannya kehilangan dua pemain tengah iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Baktiyar Duishobekov yang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.
“Untuk Piala Malaysia nanti kami kehilangan dua pemain utama di bahagian tengah iaitu Nik Akif yang mewakili skuad kebangsaan dan Baktiyar yang mewakili Kyrgyzstan pada Sukan Asia.
“Namun sebagai jurulatih, pemain yang ada harus digunakan sebaik mungkin dan kami tidak mahu hanya beraksi dalam Piala Malaysia tanpa ada sebarang sasaran.” – BH Online