MELAKA – Industri penternakan negeri ini perlu melaksana sistem ladang atau kandang tertutup, selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan pesat teknologi industri berkenaan.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata keperluan untuk melaksana sistem itu dalam industri penternakan negeri secara menyeluruh bukan sahaja memberi kesan positif terhadap kualiti dan kuantiti pengeluaran ternakan, malah baik untuk alam sekitar serta mengurangkan pencemaran.
“Jika dilihat pada prestasi pengeluaran ternakan negeri, ia terus meningkat iaitu daripada RM1,473.96 juta pada 2016 kepada RM1.477.08 juta pada tahun lepas dan menyerlahkan kemampuan Melaka sebagai pengeluar makanan utama negara.
“Justeru kerajaan negeri Pakatan Harapan berusaha memastikan penternak di seluruh negeri terus memainkan peranan secara proaktif, menggunakan teknologi terkini dan menaik taraf ladang atau kandang tradisional kepada moden khususnya berkonsep tertutup dengan tahap kebersihan terpelihara seiring slogan negeri, ‘Pintar, Hijau, Bersih’,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Upacara Bersumpah dan Makan Malam Persatuan Penternak-Penternak Melaka di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Adly, bagaimanapun berkata pelaksanaan itu tidak akan dilaksana secara menyeluruh dalam masa singkat kerana terdapat beberapa kekangan terpaksa dihadapi penternak terutama dari segi modal yang tinggi akibat perubahan sistem.
Katanya justeru, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang masalah dihadapi penternak dalam melaksanakan sistem itu dan berunding dengan mereka bagi menambah baik industri penternakan negeri demi kebaikan kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak persatuan penternak juga perlu memainkan peranan bagi membantu anggotanya yang bermasalah serta memastikan penternak yang berdaftar mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa tempatan, terutama dalam isu pencemaran alam sekitar.
Katanya penternak juga boleh mendapatkan pelbagai bantuan daripada jabatan atau badan kerajaan untuk memaju dan memperkasa industri penternakan negara termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia. – BERNAMA