KULIM – Inovasi Smart Drain Dwi-Sistem Perparitan Eco-Green (Smart Drain) ciptaan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dilihat berpotensi mengatasi sehingga 50 peratus masalah banjir kilat yang sering melanda daerah ini untuk tempoh lima tahun.
Penolong Jurutera Awam Jabatan Kejuruteraan MPKK, Farah Izah Abu Hasan berkata, Smart Drain akan berfungsi sebagai tempat simpanan air seketika bagi melambatkan aliran air dalam tempoh masa tertentu.
“Ini akan membantu mengawal aliran puncak sebelum ke titik buang terakhir ke kolam tadahan atau jaringan sungai dengan meningkatkan sehingga 80 peratus kemasukan air larian permukaan yang menjadi antara punca kejadian banjir,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Inovasi yang dipatenkan pada November tahun lepas itu mampu mengatasi masalah banjr di kawasan ‘hot spot’ terutama di Kilang Lama yang mengalami masalah itu sejak 20 tahun.
Menurutnya, ‘pilot project’ yang dijalankan di sebuah longkang berhadapan Bank Muamalat di Kilang Lama sejak 2016 lalu berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut di mana sebelum ini sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung air permukaan yang tidak normal akibat hujan lebat.
Secara asasnya, blok Smart Drain ini akan dipasang di tempat strategik sebelum tempat aliran akhir longkang ke kolam atau aliran sungai bagi mengawal aliran air.
“Bagi projek akan datang, kita akan memasang Smart Drain ini di beberapa lokasi strategik di Taman Tunku Putra, Taman Selasih dan Taman Serindit yang sebelum ini sering mengalami masalah banjir kilat yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, Farah Izah berkata inovasi itu juga mampu mengurangkan penggunaan tanah kerana tidak memerlukan pembinaan longkang dan kolam takungan yang besar.
Katanya, bukan saja saiz longkang akan dapat diminimumkan, permukaan atas Smart Drain ini juga dapat digunakan sebagai laluan pejalan kaki atau tempat parkir kenderaan.
“Reka bentuk Smart Drain ini juga lebih kemas kerana sub-drain’ tidak kelihatan kerana berada di paras bawah tanah manakala lubang ‘in-let’ disediakan untuk kemasukan air dari longkang utama ke ‘sub-drain,” katanya. – BERNAMA