KUALA LUMPUR — Seorang penyokong kerajaan mencadangkan agar kaedah penyerahan Bantuan Sara Hidup Rakyat berfasa dikaji semula bagi memudahkan penerima yang tinggal di pedalaman.
Willie Anak Mongin (PH-Puncak Borneo) berkata pemberian bantuan itu seharusnya dibayar sekaligus dalam setahun kerana bayaran secara berfasa seperti yang dilakukan kini mendatangkan masalah buat golongan tersebut.
“Saya percaya di kawasan saya di pedalaman Sarawak ramai penerima daripada golongan pertengahan, golongan tua daripada hulu terpaksa datang ke kota untuk menuntut bayaran ini.
“Kos pengangkutan mereka adalah amat tinggi. Contoh di Kapit, mereka terpaksa menyewa bot dan van untuk sampai ke kawasan ini untuk menerima bayaran bantuan di bank, jadi kalau dua tiga kali bayaran ini terpaksa dituntut akhirnya BR1M ini hanya diguna pakai untuk membayar pengangkutan mereka sahaja,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam isu berbeza, Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) ketika membahaskan usul sama mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu tabung khas ‘Floor price fund’ dalam usaha membantu pekebun getah ketika kejatuhan harga komoditi itu.
Katanya memandangkan harga getah adalah tidak stabil, kerajaan perlu menggunakan satu mekanisme penetapan harga lantai dan siling getah.
“Apabila harga getah mencecah harga siling, maka pekebun-pekebun wajib menyumbangkan sebahagian daripada keuntungan mereka ke dalam tabung itu.
“Manakala apabila harga getah turun dan menyentuh harga lantai maka kerajaan boleh menggunakan tabung berkenaan untuk menstabilkan harga getah,” katanya.
Baru-baru ini, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dilapor mencadangkan kepada kerajaan untuk pelaksanaan harga lantai getah pada harga RM4 sekilogram.
Harga semasa getah dicatat pada harga RM2.30 sekilogram, meningkat 40 sen berbanding Januari lalu.
Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA