Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Video: Eksperimentasi Gangguan Seksual...

Adakah anda masih ingat adegan filem Gila-Gila Remaja di mana sekumpulan lelaki mengganggu seorang...

ToR Pastikan Hubungan Tentera...

BANGKOK - Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Diraja Thailand akan mengembangkan lagi...

Jabatan Peguam Negara Perlu...

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan berhubung keputusan membebaskan Menteri...

Lanjut Skim Perumahan Belia...

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank...

Kartunis Berhasrat Pecah Rekod Dunia

GEORGE TOWN – Selepas berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records bagi karikatur paling banyak dalam tempoh 24 jam, kartunis kelahiran Pulau Pinang Mohd Azmi Mohd Hussin merancang untuk memecahkan rekod Guinness World Records bagi lerang kartun terpanjang.

Artis berusia 34 tahun itu yang mula melukis ketika di sekolah rendah, berhasrat meleburkan rekod yang kini dipegang oleh Unaiza Ali Barlas dari Pakistan dengan lerang kartun sepanjang 267.38 meter yang dihasilkannya pada 12 Mac tahun lepas.

Menurut Mohd Azmi beliau menghantar permohonannya kepada Guiness World Records tahun lepas namun diminta menukar skrip daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

“Saya sudah mulakan draf skrip kartun saya dalam bahasa Inggeris dan kisah yang ingin saya kongsikan ialah mengenai kereta nasional kita Proton Saga sejak kelahirannya pada 1980-an sehingga hari ini,” katanya kepada Bernama di galerinya di Penang Road, di sini hari ini.

Beliau berkata jalan cerita akan bermula dengan pemilik pertama kereta nasional iaitu sebuah keluarga Melayu sebelum bertukar tangan kepada keluarga India dan kemudian berpindah milik kepada keluarga Cina sebelum kembali kepada pemilik pertamanya.

Katanya hasrat beliau ialah mempromosikan Malaysia dengan menyelitkan elemen kepelbagaian budaya dalam jalan cerita serta bagaimana pemilik pelbagai kaum terbabit menjaga kereta berkenaan.

“Contohnya, orang Melayu pada zaman itu akan mengadakan kenduri dan menjemput saudara-mara serta rakan-rakan untuk ‘meraikan’ kereta baharu mereka dan apabila kereta itu bertukar tangan kepada keluarga India, mereka menjadikannya sebuah teksi manakala pemilik ketiga iaitu keturunan Cina mungkin mengecat semula kereta itu dengan warna merah yang mereka percaya boleh bawa ‘ong’ (tuah) sebelum kereta tersebut kembali kepada keluarga pertama,” jelasnya.

Katanya ini adalah peluang keemasan bagi beliau untuk mencipta nama di persada antarabangsa selain membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

“Sasaran saya ialah mengumpulkan dana yang cukup untuk melakukan cubaan memecahkan rekod itu menjelang penghujung tahun ini. Jika saya gagal raih dana yang mencukupi, mungkin saya akan tukar kategori yang kosnya lebih rendah,” katanya.


Bagaimanapun, Mohd Azmi berkata ada halangan lain untuk beliau mencapai impiannya kerana walaupun dibenarkan menerima tajaan, pihak Guiness World Records mahu beliau merakamkan keseluruhan proses sekali gus memerlukan lebih banyak modal.

“Kos untuk kertas 400 meter panjang, peralatan melukis dan untuk merakamkan keseluruhan proses melukis bukan murah dan pada masa ini saya masih mencari jalan untuk mendapatkan dana,” katanya.

Menurut Mohd Azmi yang menggunakan nama pena ME, sepanjang lima tahun sebagai kartunis beliau telah menghasilkan tiga komik iaitu Tanjong Life, Little Mamak dan Lost in Bagan.

Diinspirasikan oleh kartunis terkemuka tanah air Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, Mohd Azmi berkata beliau akan menghasilkan sebuah lagi komik pada penghujung tahun ini.

“Saya merancang untuk menghasilakn karikatur komik melibatkan 70 personaliti Pulau Pinang dan sedang mengumpulkan maklumat mengenai mereka selain mendapatkan kebenaran mereka untuk menerbitkan karikatur terbabit,” katanya. – BERNAMA

Kategori