JITRA – Kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang robotik, selaras dengan gelombang revolusi industri 4.0 pada masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi negeri Zamri Yusof berkata ia bertepatan dengan keupayaan anak Kedah yang selama ini terbukti memiliki bakat serta kepakaran dalam bidang tersebut.
Sebagai contoh, katanya dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan ( NRC) tahun lepas, wakil Kedah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila muncul sebagai naib juara keseluruhan dalam World Robot Olympiad (WR0) di Costa Rica.
“Kita melihat keupayaan anak Kedah ini begitu menyerlah dan sebab itu kerajaan memberi keutamaan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berserta Pusat Tranformasi Digital (KDTC) dan Kulim Technology Park Corporation (KHTP) untuk memacu bidang robotik ini agar lebih meluas dan maju.
“Kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi kerana dalam kejohanan dunia, Malaysia sangat ditakuti setelah mencatatkan kejayaan sebanyak enam kali juara keseluruhan WRO dan anak Kedah antara yang membawa cabaran itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pertandingan Robotik Kebangsaan 2018 peringkat negeri di sini, hari ini.
Sebanyak 138 pasukan dari sekolah rendah dan menengah di Kedah menyertai pertandingan dua hari bermula hari ini hingga esok bagi mencari pasukan terbaik untuk mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan di Bukit Gambang Resort City, Pahang pada 11 hingga 13 Sept depan.
“Selain pertandingan di NRC ini, kita juga mendapat kerjasama daripada Sasbadi Learning Solution dan POLIMAS dalam bidang kepakaran robotik LEGO Mindstorm untuk terus menganjurkan program berkaitan robotic di sekolah-sekolah bagi mencungkil bakat baharu pada peringkat akar umbi,” katanya.
Menerusi pertandingan yang bertemakan ‘Pentingnya Makanan’ pelajar sekolah berusia tujuh hingga 19 tahun ini diminta mewujudkan penyelesaian robotik yang dapat membantu menangani isu-isu global berkaitan kelaparan, kekurangan zat makanan dan sisa makanan.
Zamri berkata setiap pasukan mengambil bahagian dalam satu daripada lima kategori yang dipertandingkan iatu kategori Regular Pro, Regular Rookie, Terbuka, Kategori NRC Football atau STEM Invention & Inovation.
Pasukan yang memenangi pertandingan pada peringkat kebangsaan nanti, akan bersaing di WRO 2018 di ChiangMai, Thailand pada 16 hingga 18 Nov ini, membabitkan lebih 22,000 pasukan dari 60 negara anggota. – BERNAMA