MAKKAH – Tiga beradik kembar seiras meluahkan rasa syukur kerana keputusan ibu bapa untuk menabung duit raya mereka sejak kecil dalam Tabung Haji (TH) membolehkan mereka menunaikan ibadah haji tahun ini.
Muhamad Zaini Fikri, Muhamad Zarif Fikri dan Muhamad Zazali Fikri Mohd Yusop, 27, berasal dari Batu Pahat, Johor. Ibu bapa mereka mula menyimpan duit raya ketiga-tiga mereka ini sejak umur tujuh tahun dan mendaftarkan nama mereka untuk menjalani ibadah haji.
“Kesemua pembiayaan perjalanan untuk ke Tanah Suci ini dibiayai menerusi duit raya yang ibu bapa kami simpan sejak kami kecil lagi. Kami cuma mengeluarkan wang sendiri untuk perbelanjaan tambahan seperti membeli cenderahati dan makanan,” kata Muhamad Zaini Fikri semasa ditemui wartawan di biliknya di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaini Fikri, mereka sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada tahun 2015 bersama ahli keluarga yang lain namun atas komitmen pelajaran, tiga beradik ini terpaksa memohon penangguhan daripada pihak TH.
“Perasaan untuk menunaikan haji tahun ini macam lebih teruja, kerana kami datang ke Tanah Suci ini menggunakan tabungan duit sendiri. Sebelum ini kami pernah dua kali menunaikan umrah pada 2008 dan 2010 tapi dibiaya oleh ibu bapa,” katanya.
Untuk tahun ini, mereka bertiga, iaitu anak kembar bongsu daripada enam adik beradik menunaikan haji bersama-sama abang sulung dan kakak ipar mereka.
“Semasa itu (2015), kami bertiga dalam tahun akhir pengajian di universiti masing-masing dan tugasan agak banyak di samping perlu mengulangkaji untuk peperiksaan akhir.
Setelah berbincang dengan ahli keluarga, kami sepakat untuk memohon penangguhan selama tiga tahun, supaya kami dapat menamatkan pelajaran dan mencari pekerjaan terlebih dahulu,” kata Muhamad Zaini Fikri yang kini seorang doktor perubatan di Hospital Klang.
Muhamad Zaini Fikri dan Muhamad Zazali Fikri telah menamatkan pengajian di Mansoura University, Mesir, dalam bidang perubatan, sementara Muhamad Zarif Fikri kini melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Hussein Onn dalam bidang pendidikan.
Muhamad Zazali Fikri juga seorang doktor di Hospital Batu Pahat, Johor. – BERNAMA