KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membuat keputusan mengenai kementerian yang akan bertanggungjawab terhadap Majlis Amanah Rakyat sebelum tempoh 100 hari janji Pakatan Harapan berakhir, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.
Katanya pada masa ini perkara itu masih dibincangkan di peringkat kabinet.
“Kalau ikut kerajaan yang lepas Mara diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tetapi dengan kerajaan baharu ini kita nampak apa yang dibubarkan pada 2009 mungkin kita akan wujudkan kembali,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Mara, di sini hari ini.
Untuk rekod, Mara pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kementerian itu dibubarkan pada 2009.
Ditanya mengenai visi beliau sekiranya agensi itu kembali diletakkan di bawah kementeriannya, Mohd Redzuan berkata tiada perubahan besar akan dilakukan kecuali penambahbaikan serta pembaikan kelemahan pada polisi sedia ada.
Sementara itu, ditanya mengenai spekulasi fungsi agensi tersebut akan diperluas kepada bukan bumiputera, Mohd Redzuan berkata Mara mempunyai hala tuju yang jelas dan ia tidak perlu dipolitikkan.
“Kita kena lihat apakah kelemahan yang telah terjadi atau tidak dibaiki sebelum ini mengikut akta yang telah diwujudkan… spesifik untuk pembangunan usahawan bumiputera (dan) kita kena laksanakan,” katanya.
Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar.
Ditanya mengenai kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa di ibu pejabat Mara baru-baru ini yang mengundang persoalan pelbagai pihak, Mohd Redzuan sekadar berkata: “Kalau Sivarasa datang pun dia kena memahami agenda yang telah diaktakan,” katanya. – BERNAMA