KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani komited untuk terus membangunkan Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan lebih bertanggungjawab, kata menterinya Salahuddin Ayub.
Beliau berkata ketika ini pusat itu mempunyai 72 ladang satelit dengan 7,000 ekor lembu yang sedang diusahakan.
Katanya kementerian itu, menerusi NFC, juga sedang memperkasa taman kekal keluaran ruminan dan program integrasi lembu di dalam ladang kelapa sawit yang kebanyakan ladang itu dimiliki beberapa syarikat besar dengan keluasan 1.4 juta hektar.
“Kalau ungkap balik tentang NFC kita tak akan pergi mana-mana tetapi apa harapan kita, kita mesti membangunkan dengan lebih bertanggungjawab.
“Ini adalah satu pelan jangka sederhana dan panjang yang mesti kita usahakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai rasional meneruskan projek tersebut pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Salahuddin berkata kementerian itu juga berhasrat untuk melakukan perbincangan yang lebih konstruktif dengan syarikat-syarikat korporat terlibat berkenaan pembabitan mereka dalam projek tersebut.
“Kita yakin dan percaya dengan kerajaan yang mungkin boleh memberi pengurangan cukai, target untuk mencapai bekalan daging 30 peratus ini akan jadi satu kenyataan dan bukan ilusi,” katanya.
Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Dr Hasan Baharom (PH-Tampin), beliau memberi jaminan bekalan daging mencukupi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan.
Katanya kerajaan telah melakukan persediaan sejak tiga bulan lepas dan menurut statistik Jabatan Veterinar Malaysia (JPM) bekalan lembu atau kerbau tempatan bagi penyembelihan Hari Raya Aidiladha ini sebanyak 37,967 ekor manakala bekalan lembu atau kerbau yang diimport sebanyak 12,158 ekor, menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan ibadah korban ialah 50,125 ekor. – BERNAMA