TUARAN – Kerajaan Persekutuan akan memperhalusi kaedah untuk menyalurkan wang royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sangat komited untuk menunaikan janji menyalurkan wang royalti minyak kerana ia terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14).
“Kerajaan akan melihat bagaimana cara terbaik untuk menunaikan janji berkenaan termasuk mengambil kira pendapatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, di sini hari ini.
Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan akan berpegang kepada janji dalam manifesto Pakatan Harapan semasa PRU14 dan komited untuk menunaikannya.
Menurut beliau, ini termasuk memenuhi janji untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini. – BERNAMA