KAHERAH – MESIR. Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersama kira-kira tujuh tan bekalan makanan dan ubat-ubatan selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Ahad.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 11 pengamal media, lapan sukarelawan dan seorang doktor tiba di lapangan terbang itu pukul 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).
Naib presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan yang tiba di Kaherah sebelumnya bersama kumpulan pertama berkata bekalan berkenaan akan disimpan di Dewan Malaysia di Abbasiah, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Kaherah.
“Kami akan cuba mendapatkan pelepasan dari kargo lapangan terbang dan mengkaji sama ada kami boleh memindahkan semua bekalan dari terminal ke Abbasiah hari ini bersama tiga tan metrik bekalan yang kami bawa sebelumnya bersama kumpulan pertama di terminal,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Kumpulan pertama lapan orang tiba di Kaherah, Khamis lepas sementara baki 65 anggota misi kemanusiaan diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka berlepas dari KLIA, Selasa ini.
Pada masa ini, Mohd Farid berkata kumpulan pengurusan KPIM di Malaysia dan Kaherah masih berusaha mendapatkan permit untuk memasuki Gaza.
Kumpulan itu merancang untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bersama 40 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan, Rabu ini.
Bantuan kemanusiaan itu adalah untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, yang menjadi sasaran serangan hebat oleh tentera Israel.
Setakat ini lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terkorban dalam serangan itu. – BERNAMA
KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) terus kekal dengan perangai seperti menjadi pembangkang sebelum pilihan raya lalu.
Sikap defensif, terlalu takut ditegur dan mudah “meroyan” masih jelas kelihatan pada pemimpin-pemimpin PH.
Sebagai kerajaan, PH ialah sebuah kerajaan yang tertutup, takut dikritik dan sukar mengaku kesalahan.
Kerajaan telah beberapa kali membuat pusingan U melibatkan keputusan-keputusan penting, seperti janji menangguh pembayaran PTPTN, pelupusan kereta lebih 10 tahun, dan peraturan sekat tukang masak asing.
Kesemuanya dibuat tanpa berbincang dengan pihak berkepentingan, dan bersalahan sama sekali dengan pendirian yang selalu dilaungkan selama ini apabila mengkritik kerajaan Barisan Nasional dulu.
Boleh dilihat pemimpin-pemimpin PH bersikap defensif dan ego, tidak mengakui kesilapan apabila beberapa keputusan yang dikritik dikatakan masih dalam kajian sedangkan sebenarnya keputusan dibuat tanpa berbincang dengan mana-mana pihak.
Ini menunjukkan berlaku amalan buruk hanya mendengar pandangan satu pihak, yang kemungkinan besar ialah pihak yang dikenali dan mempunyai hubungan baik dengan PH.
Malah terdapat beberapa keputusan yang dibuat tanpa rasa malu atau tidak memikirkan isu moralnya seperti melantik begitu ramai pegawai khas dan pegawai khas yang berorientasi seksual songsang.
Sikap defensif ini amat jelas ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin PH apabila menjawab soalan diajukan, seolah-olah terlalu takut kesilapan terdedah.
Terbaharu, kekecohan di Parlimen pada hari pertama sesi bermula, yang menunjukkan prinsip kedaulatan undang-undang diabaikan malah dihalang untuk dibicarakan apabila kesilapan itu ditunjukkan oleh pihak pembangkang.
Banyak pihak dalam kalangan pengamal undang-undang sendiri menjelaskan bahawa tidak mematuhi peraturan tempoh menamakan speaker itu sesuatu yang serius.
Apa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini jelas menunjukkan yang kerajaan PH berusaha sedaya upaya menutup kesalahan mereka.
Sekarang ini, debat pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan masih berjalan, dan kerajaan PH tidak meraikan langsung pandangan yang berbeza.
Kalau dulu selalu disebut kerajaan mesti berunding dengan rakyat, era kerajaan lebih tahu (government knows best) sudah berakhir, sekarang mereka paling kuat memegang pendirian kerajaan tahu segala-galanya.
Lihat sahajalah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih dominan dan nampak masih mahu membuat semua keputusan sendiri.
Banyak perkara, tentang keperluan projek-projek pengangkutan dan pembangunan tertentu, diputuskan dan rakyat dipaksa menerimanya tanpa soal.
Pada masa yang sama, kepimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus diburuk-burukkan dan dijadikan alasan apabila tidak dapat menunaikan janji.
Pemerintahan beliau dijadikan momokan untuk mengalih perhatian daripada masalah dan kegagalan kerajaan hari ini.
Kerana perangai takut mengaku salah inilah, begitu banyak sumber dan masa diperlukan oleh kerajaan PH untuk tentera siber bagi membalas kritikan, mengalih isu, menyerang seteru politik dan bermacam kempen siber lain demi mempertahankan diri.
Ketakutan ini mungkin disebabkan mereka sendiri tahu apa yang mereka lakukan selama ini, dan bimbang perkara yang sama dikenakan pada mereka pula.
Kempen PH sejak bertahun sebelum pilihan raya lalu ialah kempen yang penuh manipulasi dan berbentuk negatif.
Kesannya politik negara telah terkesan oleh budaya buruk yang dibawa dan disuburkan itu. – Mynewshub.tv