KERAJAAN yang mentadbir negara diberikan amanah untuk menjaga kepentingan rakyat yang hidup dalam sesebuah negara.
Boleh dikatakan salah satu tugas utama sebuah kerajaan ialah mengurus pembangunan dan lebih utama lagi, memimpin pembinaan sebuah negara bangsa.
Dalam proses ini, kerajaan, sama ada parti pemerintah dan juga jentera pentadbiran kerajaan memerlukan maklumat yang tepat.
Maklumat yang tepat ini bukan datang dari seorang menteri, sebuah parti atau sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Maklumat yang benar diperolehi daripada kajian dan tinjauan pihak yang bertanggungjawab, daripada kementerian hingga kepada pihak lain yang membuat kajian.
Data-data ini bersifat neutral dan tidak mempunyai kecenderungan politik, dan ini sangat diperlukan untuk menghasilkan sebarang pelan atau perancangan.
Malangnya, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) nampaknya telah bertindak sebagai populis yang mempolitikkan semua perkara.
Secara mudah kerajaan PH telah meletakkan kesalahan di atas bahu kerajaan sebelum ini, dengan segala angka dijadikan pembuktian kesalahan kerajaan Barisan Nasional yang lalu.
Angka projek ECRL, LRT 3, hutang negara dan sebagainya semuanya dikemukakan sebagai bukti untuk menunjukkan kerajaan sebelum ini telah melakukan dosa besar.
Antara dosa itu termasuk pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga minyak petrol yang meningkat dan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang.
Dalam hal ini, PH telah menjalankan kempen populis dengan mempermudahkan isu-isu ini dengan mempersalahkan kerajaan BN yang berkuasa sebelum ini.
Populisme tidak memerlukan kajian mendalam dan orang ramai yang berfikir panjang kerana populisme bergerak dengan menggunakan sentimen dan emosi.
Kempen populis semasa Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjaya menarik pengundi, yang boleh dikatakan hampir semuanya percaya janji-janji tersebut realitistik dan boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Kempen populis itu mengeksploit rasa marah dan tidak puas hati ramai rakyat yang terpengaruh dengan kempen PH yang mempersalahkan kerajaan BN semata-mata.
Kesalahan BN ini termasuk harga barangan yang tinggi di kedai-kedai, harga minyak yang tidak turun dan tol yang terus dikutip.
Akibat percaya janji-janji populis PH yang dianggap realistik, mereka menolak sepenuhnya BN dan mempersalahkan sepenuhnya BN.
Mereka percaya “kesalahan-kesalahan” kerajaan BN itu akan diubah oleh kerajaan PH, daripada menghentikan GST hingga kepada menghapuskan tol.
Janji-janji populis ini diyakini kerana mereka yang percaya tidak mendapat gambaran jelas tentang pendapatan negara, ekonomi politik yang mempengaruhi harga barangan dan kontrak serta perjanjian yang mentadbir konsesi dan pengurusan tol.
Janji-janji populis mereka sangat bergantung pada sentimen marah dan benci para pengundi, supaya BN dianggap sepenuhnya buruk dan mesti ditolak.
Mereka jangka kerajaan PH yang sangat menentang BN itu pasti akan melaksanakan dasar yang berbeza dan menghapuskan segala dasar BN yang dianggap menindas itu.
Golongan ini terlupa atau tidak tahu kerajaan PH tetap memerlukan pendapatan negara untuk melaksanakan janji-janji bulan bintangnya itu, seperti menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, memberi subsidi minyak dan pelbagai lagi pemberian yang memerlukan kos tinggi.
Malangnya, pertama sekali yang dilakukan oleh PH sebaik menang ialah menghapuskan kutipan GST (bukan menghapuskan GST kerana akta berkaitan masih ada), yang menyebabkan pendapatan negara serta-merta berkurangan.
Apabila pendapatan kurang, banyak janji tidak dapat dilaksanakan, kerana janji tersebut memerlukan belanja yang besar untuk dilaksanakan pada masa yang sama pendapatan GST ditiadakan.
Kempen populis sebelum pilihan raya dulu tidak menceritakan hal yang sukar ini. Pada masa itu, rakyat hanya diberitahu “Najib pencuri,” “GST tiada harga barang turun,” “PH menang tol mansuh” dan macam-macam lagi janji manis.
Sama juga halnya dengan kempen populis “menolak penjajahan China” melalui projek-projek infrastruktur seperti projek pelabuhan dan rangkaian keretapi.
Gambaran “menjual negara kepada China” sangat bersifat negatif dan memberi gambaran yang jauh daripada realiti.
Akhirnya, kerajaan PH megemukakan angka-angka yang berbeza tentang nilai projek-projek sedang dan bakal dilaksanakan, dan bersikap sangat tidak telus dalam hal ini.
Seolah-olah mahu menutup perkara sebenar atau mahu terus memanipulasi sentimen orang ramai, kerajaan PH tidak mengalukan soalan dari pihak lain dan meneruskan mainan populis mempersalahkan kerajaan terdahulu.
Mungkin yang paling populis ialah tindakan membuat tabung, Tabung Harapan Malaysia yang dikatakan tujuannya untuk memungut derma bagi membayar hutang negara.
Sehingga hari ini, tidak dijelaskan mekanisme pembayaran hutang itu, seperti bayaran melalui apa atau hutang mana yang akan dibayar atau dibayar dulu, atau pengurusan wang tabung ini yang sudah mencecah jutaan ringgit.
Populisme sekitar isu tabung ini mengeksploit sentimen yang dibina melalui kempen mempersalahkan hutang negara sebagai punca janji-janji PH tidak dapat dilaksanakan.
Selagi tabung ini wujud dan menjadi bahan kempen menarik simpati sambil menyalahkan kerajaan sebelum ini, kempen populis PH dapat diteruskan.
Kerajaan PH meneruskan pendekatan populis mereka untuk mengekalkan sokongan dan menarik sokongan baharu demi megekalkan populariti mereka.
Akibatnya, perbincangan tentang politik dan pentadbiran di negara kita ditolak ke tahap yang rendah, dengan hanya membincangkan hal-hal mudah dan tidak mencabar populisme yang merendahkan tahap pemikiran rakyat. – Mynewshub.tv