IPOH – Kerajaan Negeri menerima secara terbuka untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), namun pemegang sijil itu perlu fasih berbahasa Melayu selain mendapat kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata Perak akan mengikut keputusan oleh kerajaan persekutuan dalam mengiktiraf UEC.
“We are officially recognising it and we are (Kami secara rasmi mengiktirafnya dan kami) seperti yang Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) katakan, kita sedang melangkah ke arah itu. Jadi kalau kerajaan pusat setuju jadi obviously (tentunya) kita akan turut bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil dan diploma pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti negeri Perak 2018 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta di sini hari ini.
Kerajaan Negeri juga secara terbuka akan menerima pemegang UEC untuk bekerja dalam perkhidmatan awam sekiranya memiliki syarat yang ditetapkan.
Ahmad Faizal berkata rakyat Malaysia perlu menerima perkara itu dengan berlapang dada dalam menjaga hubungan sesama kaum di negara ini.
“Saya sebenarnya rasa bimbang ada kalangan kita yang terlalu anxious (bimbang) nak bercakap pasal isu sijil ini, sehingga ia menyakitkan perasaan kaum lain di Malaysia.
“Oleh itu, tiada sebab untuk menahan peluang para pemegang UEC asalkan mereka melepasi segala syarat yang ditetapkan,” katanya.
Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
UEC ialah sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta dalam meningkatkan usaha memartabatkan pendidikan anak Perak terutamanya untuk mereka yang berada di pedalaman.
“Saya sedang berusaha untuk dapatkan jumlah GLC yang mencukupi dan syarikat swasta untuk menaja pelajar atau anak dari kawasan pedalaman dan golongan kaum asal untuk memberi bantuan dari segi pendidikan yang sempurna.
“Begitu juga untuk golongan yang kurang bernasib baik atau pelajar yang berasal dari keluarga yang tidak berkemampuan kita juga sedang mencari jalan,” katanya.
Ahmad Faizal berkata Kerajaan Negeri telah berjumpa beberapa GLC dan swasta dan masing-masing menyambut baik berhubung perkara ini.
“Saya nak GLC dan swasta bersama-sama selesaikan masalah ini secara mikro dengan menganggap pelajar ini seperti anak sendiri.
“Kalau kita mempunyai atau mengawal sebuah GLC yang mengaut keuntungan puluhan juta setiap tahun, jadi tiada masalah untuk turut sama memikirkan masalah pelajar kurang kemampuan.” – BERNAMA