MAKKAH – Majlis Perbandaran Makkah dijangka mengendalikan 40,000 tan sampah sepanjang sepuluh hari hingga 13 Zulhijjah (26 Ogos) musim haji tahun ini, kata Timbalan Menteri Perhubungan Bandar Ibrahim Altohaimi hari ini.
Beliau berkata setiap hari, 4,000 tan sampah dan hasil buangan akan diuruskan.
“Kerajaan akan mengendalikannya secara manual dan menggunakan teknologi digital serta aplikasi telefon pintar untuk memastikan kebersihan Kota Suci,” katanya kepada 11 editor jemputan kerajaan Arab Saudi dari pelbagai negara untuk membuat liputan pramusim haji di sini hari ini.
Ibrahim berkata sistem itu akan membolehkan pekerja memantau kebersihan bandar secara jitu.
“Ini disebabkan setiap tong sampah telah dilengkapi dengan sensor yang akan menghantar data ke ibu pejabat dan telefon pintar,” katanya.
Beliau berkata kesemua sampah tersebut akan dihantar ke tapak pelupusan sampah seluas 1.5 km persegi di pinggir bandar.
Menggunakan aplikasi baharu yang diperkenalkan, katanya orang ramai yang mendapati sampah tidak dikendalikan dengan betul boleh mengambil gambar dan menghantarnya ke pusat pemprosesan sampah sebelum pekerja bertugas diarahkan membersihkan kawasan itu segera.
Turut hadir Datuk Bandar Makkah Mohammed Abdullah Al Guwaihes. – BERNAMA