KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini.
Beliau tiba di istana kira-kira pukul 1.30 tengah hari diiringi Timbalan Ketua Menteri Christina Liew dan disambut oleh Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri, Abinan Asli.
Kunjungan itu adalah yang pertama oleh presiden PKR kepada Tun Juhar di Istana Negeri selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Mei lepas.
Pertemuan tertutup itu berlangsung hampir sejam sebelum Wan Azizah meninggalkan istana kira-kira 2.50 petang.
Wan Azizah juga mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya.
Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merasmikan seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent,Tuaran.
Wan Azizah dijadual menghadiri pertemuan bersama pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri sebelum berlepas pulang ke ibu negara. – BERNAMA