KUALA LUMPUR – Cadangan untuk hapus kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan kepada media selepas menyampaikan ucap tama Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini. Lagipun, katanya, penghapusan tol melibatkan proses yang rumit dan pelbagai pihak.
“Kami telah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan) tetapi, sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak di mana seseorang perlu membuat pembayaran.
“Ini tidak kira sama ada ia menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna dan pemegang konsesi,” katanya. Shahril berkata penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.
“Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai, dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” jelasnya.
KWSP memilliki 49 peratus pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.
Beliau juga berkata pelabur Malaysia perlu mempunyai keyakinan terhadap pasaran dan kerajaan, menyedari hal ini, tidak mahu melakukan apa-apa yang boleh menjejaskannya.
Sementara itu, semasa sesi soal jawab, Shahril berkata ekonomi Malaysia dijangka tidak menentu tahun ini sekurang-kurangnya sehingga Oktober.
Sentimen pelabur asing kekal tidak memasuki pasaran kerana mereka masih berhati-hati dengan keadaan semasa negara dari segi dasar ekonomi, katanya.
“Bagi jangka masa pendek, akan ada banyak ketidaktentuan kerana kerajaan masih belum menetapkan dasar pelaburan atau pemacu pasaran yang mereka mahu laksanakan.
“Saya jangka keadaan ekonomi tidak menentu itu akan kekal sehingga pembentangan belanjawan akan datang,” katanya. – BERNAMA