BERANG kerana tidak diberikan wang dikatakan punca lelaki membakar rumahnya sehingga menyebabkan lebih 30 rumah lain di Kampung Sarip, Lahad Datu, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 37 tahun yang turut melecur 30 peratus pada bahagian muka, badan, tangan dan kaki ditahan dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Menurut sumber, sebelum kebakaran itu, suspek dikatakan bergaduh dengan adiknya sebelum dia membawa botol berisi petrol.
“Suspek kemudian cuba membakar beberapa rumah jirannya namun dihalang. Suspek bagaimanapun terus bertindak agresif dengan membakar rumah sendiri sebelum api gagal dikawal dan merebak ke rumah berdekatan.
“Kejadian itu menyebabkan penghuni rumah masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya di sini, hari ini.
Sumber berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera ke lokasi dan menemui suspek dalam keadaan terbaring dengan badannya melecur.
“Ketika itu, suspek disyaki dalam keadaan mabuk. Suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, kebakaran itu mengakibatkan lebih 150 penduduk di kampung berkenaan hilang tempat tinggal.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Mohd Fadzil Ali, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Punca kejadian dipercayai akibat pergaduhan namun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya,” katanya. – myMetro Online
*Video sekadar hiasan…