BANGKOK – Mayat seorang lelaki Kanada ditemui dalam keadaan ngeri apabila sebahagian tubuhnya dimakan anjing peliharaannya sendiri selepas dia meninggal dunia kira-kira 10 hari lalu.
Separuh tubuh badan Glen Pattinson, 62, dikunyah anjingnya bernama Cujo termasuk bahagian muka yang dimakan sehingga tinggal tulang menampakkan tengkorak.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, lelaki terbabit tinggal bersendirian bersama anjingnya di sebuah apartmen di Thailand dan haiwan itu ditemui berada di sisi mayat tuannya yang dalam keadaan bogel, Jumaat lalu.
Pekerja penyelamat dimaklumkan jiran Pattinson yang membuat aduan anjing berkenaan sering menyalak dan mengesyaki ia mungkin tidak dibawa keluar untuk berjalan.
Cujo ditemui berada di sisi tuannya dengan kesan darah kering pada mulutnya ketika polis tiba.
Seorang penduduk, Bell Suchin, 34, berkata, Pattinson tinggal di situ sejak tiga tahun lalu dan seorang yang peramah.
Katanya, dia juga menyayangi anjingnya dan sering membawanya berjalan setiap malam.
Lelaki itu dikatakan menghidap kencing manis dan baru saja mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut polis, kematian itu tidak diklasifikasikan sebagai mencurigakan.
“Dia ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan dipercayai mati antara tujuh hingga 10 hari. Anjing jantan itu berada di sisinya dan tidak minum selama beberapa hari.
“Tiada sebarang tanda pergelutan atau bilik itu digeledah. Kita tahu dia tinggal bersendirian dan mayat dibawa untuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kita turut menghubungi pihak kedutaan untuk memaklumkan keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya. – Agensi