SINTOK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mencari satu mekanisme yang sesuai bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga daging terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha ini berada pada tahap yang munasabah.
Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, walaupun perkara itu bukanlah tugas hakiki pihaknya, namun beliau berkata memang terdapat satu jawatankuasa antara kementeriannya dan KPDNHEP yang akan berfungsi apabila wujud situasi yang memerlukan kedua belah pihak duduk berbincang.
“Tugas kementerian adalah untuk memastikan bekalan (daging) cukup, bila cukup tiada isu manipulasi…bila Australia hentikan eksport daging, kami telah buat perancangan awal tiga bulan bagi pastikan bekalan daging mencukupi.
“Mengenai harga kami akan lihat perkembangan mutakhir…Itu bukan peranan hakiki MOA… perlu ada usaha sama dengan KPDNHEP untuk menentukan harga,” katanya selepas mengisytiharkan klon baharu rambutan MARDI dan melancarkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) di MARDI Sintok di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri KPDNHEP Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata harga daging dijangka meningkat menjelang Aidiladha berikutan faktor permintaan dan penawaran serta menasihatkan pengguna menggunakan kuasa beli dengan bijak memandangkan barangan itu tidak tertakluk di bawah senarai harga barangan terkawal. – BERNAMA