KUALA LUMPUR – Model baharu bagi menggantikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Khas yang dianggotai tujuh kementerian lain selewat-lewatnya hujung September ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Salahuddin berkata hanya selepas itu model berkenaan akan dibawa ke peringkat jemaah menteri.
“Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Julai lalu dengan disertai tujuh kementerian lain iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Selepas hasil (model menggantikan Bernas) dibentangkan di peringkat jawatankuasa, kita akan bawa ke peringkat jemaah menteri kerana mungkin ada akta yang perlu dipinda,” katanya selepas menghadiri taklimat bersama Timbalannya Sim Tze Tzin di ibu pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, hari ini.
Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata sebuah pasar raya FAMA akan dibina di Shah Alam selewat-lewatnya hujung tahun depan bagi memasarkan produk keluaran usahawan FAMA.
“Projek perintis (pasar raya) diperlukan kerana jenama dan produk FAMA semakin mendapat sambutan rakyat.
“Pasar raya itu juga bertujuan meningkatkan lagi perkhidmatan kita kepada masyarakat dan kita jamin harga yang ditawarkan lebih rendah daripada pasaran biasa,” katanya. – BERNAMA