KUALA LUMPUR – Kerajaan Myanmar digesa lebih serius dalam menangani isu Muslim Rohingya, kerana masalah itu dilihat boleh mengundang radikalisme yang lebih agresif dan mengancam keamanan serta kestabilan yang kini dinikmati di Asia Tenggara.
Penasihat Dasar Undang-Undang, Politik & Keselamatan di Kementerian Koordinator Indonesia, Dr Sri Yunanto berkata, penderitaan kaum Muslim Rohingya dipercayai menyumbang kepada peningkatan ketara pelampau dan pemberontak asing ke rantau itu.
Menurutnya, keadaan tersebut juga menyebabkan berlakunya tindakan kekerasan secara berterusan di beberapa tempat dan negara.
“Saya melihat ia sebagai tahap potensi (ancaman), oleh itu, dalam hal ini, (kerajaan Myanmar) harus menunjukkan kesungguhan untuk membawa keamanan, khususnya di Rakhine.
“Walaupun di sini prinsip tidak campur tangan diamalkan (dalam kalangan negara-negara ASEAN), namun, Kerajaan Myanmar perlu melihat kestabilan dan keamanan serantau itu satu perkara penting,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Awam dan Memerangi Keganasan di sini hari ini.
Sidang kemuncak dua hari itu menarik penyertaan 16 penceramah serta pakar keselamatan dan memerangi keganasan termasuk dari United Kingdom, Singapura, Australia, Indonesia, Filipina dan pegawai tempatan bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan, pengurusan, perubahan organisasi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana serta gangguan terhadap acara.
Mengulas lanjut, Yunanto menyatakan keadaan ‘dinyahinsani’ berterusan ke atas minoriti Muslim menyebabkan ramai ditindas, menimbulkan satu lagi bentuk radikalisme, yang secara tidak langsung melibatkan agama dan pelarian lain di rantau berkenaan.
“Rohingya satu lagi isu lain (selain isu Palestin) di mana umat Islam, khususnya umat Islam radikal, merasa ‘dinyahinsani’ ketika mereka (puak pelampau) merasa terhubung dengan Rohingya (saudara mereka) yang perlu disokong dan dilindungi .
“Masalah lain ialah kemunculan kumpulan pengganas dalam kalangan pelarian kerana mereka (pelarian) terdedah dan boleh dipengaruhi dengan mudah, inilah yang menjadi dan memerlukan langkah pencegahan (yang akan diambil) bukan hanya oleh Myanmar tetapi juga negara rantau lain,” katanya.
Isu Rohingya, satu bencana kemanusiaan tempatan, memberikan kesan serantau yang berlaku pada 2015 selepas ribuan etnik Rohignya melarikan diri dari Rakhine, menggunakan perahu, dan kemudian terkandas di Laut Andaman.
Nasib ratusan ribu orang itu juga disifatkan sebagai krisis pelarian paling pesat berkembang di dunia. – BERNAMA